Pasar raya pertama miliki terowong nyah cemar di Kelantan.
KOTA BHARU - Pasar Raya Jelira yang menguruskan Agro Bazar Rakyat Kok Lanas di sini menjadi pasar raya pertama di Kelantan yang memasang terowong nyah cemar bagi menangani pandemik koronavirus (Covid-19)
Terowong dikenali sebagai Spa Sanitizer itu dibina khas untuk pelanggan yang diletakkan di pintu masuk Pasaraya Jelira bermula hari ini.
Terowong dikenali sebagai Spa Sanitizer itu dibina khas untuk pelanggan yang diletakkan di pintu masuk Pasaraya Jelira bermula hari ini.
Pemilik pasar raya berkenaan, Ahmad Deraman, 53, berkata, pihaknya mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Sukarelawan Kok Lanas yang menyumbang untuk membina terowong lengkap dengan semburan cecair antiseptik bernilai RM500.
Katanya, terowong nyah cemar itu sebagai langkah menjaga kebersihan, selain memberi keselesaan kepada pelanggan agar mereka lebih yakin untuk datang membeli barangan keperluan harian di pasar raya tersebut.
“Pelanggan yang datang ke pasar raya ini terlebih dahulu melalui terowong nyah cemar ini bagi memastikan tahap kebersihan sebelum masuk untuk memilih barangan yang hendak dibeli.
“Apabila keluar mereka juga melaluinya bersama barangan yang dibeli sebagai langkah berjaga-jaga serta bebas kuman sebelum pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, selain pembinaan terowong tersebut, pihak pasar raya turut menjalankan kerja-kerja pembersihan pada peralatan yang digunakan orang ramai seperti troli dan bakul.
“Lantai dan rak pasar raya juga dibersihkan mengikut prosedur operasi standart (SOP) yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Pelanggan juga dipastikan menjaga jarak satu meter ketika membuat bayaran di kaunter,” katanya.
Sementara itu, Ketua Projek Sukarelawan Kok Lanas, Wan Zuhari Wan Ismail, 41, berkata, pembinaan projek perintis Spa Sanitizer itu mengambil masa dua hari yang dibina oleh lima individu menggunakan bahan kitar semula iaitu batang paip polyvinyl chloride (PVC), jaring kalis air, alat pancuran dan pam air.
“Cecair pembunuh kuman yang digunakan pula adalah campuran air dan antiseptik dengan nisbah selitir air serta 30 liter antiseptik.
“Terowong ini dilengkapi lima pancuran yang mengeluarkan semburan cecair nyah kuman dan beroperasi secara manual. Pelanggan perlu berada di dalamnya selama tujuh saat dengan memusingkan tubuh sebelum keluar semula dalam keadaan lebih bersih,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Irfan Abdul Aziz, 41, berharap lebih banyak terowong nyah cemar ditempatkan di tempat-tempat awam di negeri ini bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
“Terowong seperti ini amat diperlukan di banyak tempat bukan sahaja di pasar raya malah di bank-bank yang kerap menerima kunjungan orang awam ketika ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment