'Goreng tangan'..?? Goreng Pisang....???!! - I luv evrything about ..... I luv evrything about .....: 'Goreng tangan'..?? Goreng Pisang....???!!

27 November 2010

'Goreng tangan'..?? Goreng Pisang....???!!

Nik Nurehan | Saturday, November 27, 2010 | 0 Komen

SERDANG: “Tiada rahsia atau petua yang saya amalkan untuk memastikan tangan tidak melecur atau luka, hanya dengan kalimah Bismillah selepas mendapat satu bisikan suara 11 tahun lalu,” kata peniaga pisang goreng, Hartini Maliki, 53.

Dia yang sudah 23 tahun menjalankan perniagaan pisang goreng mendakwa tidak pernah berlaku sebarang kecederaan atau luka pada tangannya walaupun sering berbuat demikian.

Mengimbas kali pertama menggoreng menggunakan tangan, dia berkata, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba apabila terdengar satu suara berbisik menyuruh dia menggunakan tangan.

“Tanpa sebarang rasa ragu, saya terus mencelup tangan ke dalam minyak yang panas, malah berasa hairan apabila tangan saya tidak melecur.

“Sejak itu, saya tidak lagi menggunakan sebarang peralatan untuk menggoreng malah pelanggan saya mendakwa pisang goreng saya lebih sedap berbanding biasa,” katanya.

Hartini berkata, hasil daripada jualan pisang goreng yang sudah diusahakan sejak 23 tahun itu, dia mampu menghantar tiga anaknya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

“Dua orang anak saya sudah bekerja, hanya seorang masih belajar, namun saya tetap meneruskan perniagaan ini yang sudah menjadi sumber pendapatan kami sekeluarga sejak dulu,” katanya yang ditemui di gerai Sulawesi di sini, semalam.

Katanya, dia turut berterima kasih kepada kerajaan Sulawesi dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kerana menjemputnya berkongsi kepakaran itu.



Rendam Tangan Dalam Minyak Panas Ketika Menggoreng Pisang Keistimewaan Ta Nou

Oleh Ahmad Fuad Yahya

GORONTALO (SULAWESI), 17 Jan (Bernama) -- Warung Pisgor (pisang goreng) Ta Nou di Jalan Raja Eyato di sini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai kerana kebolehan penjualnya memasukkan, mengalih dan mengangkat pisang goreng daripada dalam minyak yang panas menggelegak hanya dengan tangan tanpa ada kesan melecur.

Keistimewaan yang dimiliki oleh Ta Nou, yang bererti wanita kesayangan dalam bahasa Gorontalo ini, menyebabkan jualan pisang gorengnya semakin laris dan menambahkan rezeki bagi keluarganya.

Beliau juga boleh meletakkan tangan ke api tanpa meninggalkan kesan terbakar atau melecur.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang dibawa Gabenor Gorontalo Ir Gusnar Ismail ke warung itu malam tadi, kagum dengan kebolehan Ta Nou dan mengundang beliau untuk menunjukkan keistimewaan itu di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-pelancongan Malaysia (Maha) November ini.

Berusia 52 tahun, Ta Nou, yang nama sebenarnya Hartin, berkata kebolehan itu diperoleh pada satu malam 10 tahun lepas setelah beliau mendengar bisikan suara wanita di kedua-dua belah telinganya, ketika sedang menggoreng pisang di warungnya itu.

"Bisikan suara itu berkata 'ayo balikkan dengan tangan pisang goreng', lalu saya dengan yakin membaca Bismillah dan membalikkan pisang goreng itu dengan tangan dan ternyata saya boleh berbuat demikian tanpa rasa sakit atau sebarang kesan pada kulit.

"Saya terus mengucapkan Alhamdulillah dan sejak itu selama 10 tahun ini saya boleh berbuat demikian tanpa sebarang masalah," katanya kepada Bernama.

Ta Nou, ialah kata singkatan kepada tante yang bererti puan dan nou kesayangan. Beliau akan menjual goreng pisang di warung itu setiap malam selepas solat Maghrib.

Ibu kepada tiga anak ini bersyukur kerana kelebihannya itu dapat menambah rezekinya hampir sekali ganda dan membantu suami membesarkan anak-anak.

Bekas gabenur Gorontalo Ir Fadel Muhammad telah juga membawa beliau ke Jakarta, Yogyakarta, Ambon dan Perancis bagi menunjukkan keistimewaan Ta Nou kepada masyarakat di luar Gorontalo.

Fadel kini menyandang jawatan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia.

"Saya juga dipelawa untuk mengikuti beliau ke Australia tapi tak boleh berbuat demikian kerana ketika itu cucu saya sedang sakit," katanya.

Ta Nou berkata sepanjang 10 tahun beliau menggoreng pisang dengan tangannya itu, beliau dapat merasai ada beberapa cubaan ilmu sihir untuk menggagalkan kebolehannya tetapi semua cubaan itu gagal.

Ta Nou gembira mendapat pelawaan Noh untuk ke Malaysia dan berharap dapat menunaikan undangan itu apabila tiba masanya nanti.

Bagi pengunjung Maha, peluang menyaksikan penampilan Ta Nou, wanita kesayangan Gorontalo pada November ini, adalah sesuatu yang tidak harus dilepaskan.

Related Posts

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

I luv evrything about ..... © . Designed by MaisarahSidi.com