SOAL JAWAB PERKAHWINAN - I luv evrything about ..... I luv evrything about .....: SOAL JAWAB PERKAHWINAN

29 December 2010

SOAL JAWAB PERKAHWINAN

Nik Nurehan | Wednesday, December 29, 2010 | 0 Komen
1.Apakah yang perlu diketahui oleh pasangan sebelum sesuatu perkahwinan itu boleh dilangsungkan ?
Sebelum sesuatu perkahwinan itu boleh dilangsungkan bakal pengantin hendaklah memastikan : i) Tiada halangan untuk berkahwin; ii) Kesediaan kedua pihak untuk berkahwin; iii) Kedua-dua bakal pengantin telah menghadiri Kursus Pra Perkahwinan.

2.Apakah yang dimaksudkan dengan tiada halangan untuk berkahwin ?
Maksud tiada halangan untuk berkahwin ialah : i) Tidak wujud hubungan muhrim di antara lelaki dan perempuan; ii) Kesihatan yang baik dan tidak mendatangkan mudharat; iii) Mendapat kebenaran untuk berkahwin di luar kariah sekiranya perkahwinan itu bakal dilangsungkan di luar kariah pengantin perempuan ; iv) Bakal pengantin lelaki telah mendapat kebenaran dari Mahkamah sekiranya perkahwinan itu merupakan perkahwinan poligami; dan v) Berumur 18 tahun ke atas bagi lelaki dan 16 tahun ke atas bagi perempuan.

3. Apakah yang dimaksudkan dengan kesediaan kedua-dua pihak untuk berkahwin ?
Kesediaan kedua-dua pihak untuk berkahwin ialah persetujuan kedua-dua pihak untuk berkahwin.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan Kursus Pra Perkahwinan ?
Kursus Pra Perkahwinan ialah kursus berkaitan dengan perkahwinan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama atau pihak swasta yang mendapat kebenaran dan pengiktirafan daripada Kerajaan.

5. Siapakah yang dilarang untuk seorang wanita itu berkahwin ?
i) Bapa kandung; ii) Datuk; iii) Saudara lelaki seibu sebapa; iv) Saudara lelaki seibu; v) Anak saudara lelaki; vi) Bapa saudara; vii) Saudara lelaki sesusuan; dan viii) Orang bukan Islam.

6. Berapakah had umur minima untuk memasuki perkahwinan ?
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303, had umur minima untuk memasuki perkahwinan ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

7. Sekiranya seorang perempuan itu berumur di bawah 16 tahun, bolehkah dia melangsungkan perkahwinan ?
Boleh, seorang perempuan yang berumur di bawah 16 tahun boleh melangsungkan perkahwinannya dengan syarat kebenaran daripada Hakim Syarie telah diperolehi terlebih dahulu.

8. Mengapakah had umur minima untuk berkahwin itu ditetapkan ?
Walaupun Hukum Syara' tidak menetapkan sebarang umur minima untuk berkahwin dan sesebuah perkahwinan itu boleh dilangsungkan apabila pihak-pihak kepada perkahwinan telah mencapai umur baligh, penetapan had umur minima dilakukan demi keperluan dunia moden masa kini, memandangkan ikatan perkahwinan itu memberi kesan kepada hak dan tanggungjawab kepada seseorang itu.

9. Di manakah perkahwinan itu dilangsungkan ?
Perkahwinan biasanya dilangsungkan di dalam kariah tempat tinggal pihak perempuan.

10. Bolehkah pernikahan dijalankan di tempat selain dari tempat tinggal kariah pihak perempuan ?
Boleh, dengan syarat kebenaran telah diberikan oleh Pendaftar kariah tempat tinggal pihak perempuan.

11. Bagaimanakah proses permohonan perkahwinan dilakukan ?
Proses permohonan perkahwinan dilakukan seperti berikut : i) Pihak lelaki dan perempuan mengemukakan permohonan melalui borang permohonan kepada Pendaftar bagi kariah tempat tinggal pihak perempuan; ii) Jika pihak lelaki bermastautin di luar kariah pihak perempuan, permohonan hendaklah disertakan dengan kenyataan oleh Pendaftar kariah tempat tinggal pihak lelaki; iii) Borang permohonan hendaklah disampaikan kepada Pendaftar sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh pernikahan; iv) Penolong Pendaftar akan menyatukan borang-borang itu; v) Borang-borang itu akan diserahkan kepada Pendaftar; v) Pendaftar akan mengeluarkan surat kebenaran; vi) Penolong Pendaftar akan menjalankan akad nikah; dan vii) Sijil nikah akan dikeluarkan oleh Pendaftar.

12. Apakah dokumen-dokumen yang perlu disertakan semasa memohon kebenaran untuk berkahwin ?
Dokumen-dokumen yang perlu disertakan semasa memohon kebenaran untuk berkahwin ialah : i) Bukti permastautinan; ii) Pengesahan status bujang oleh majikan atau penghulu; iii) Kad Pengenalan atau pasport; iv) Sijil Kursus Pra Perkahwinan; dan v) Surat kebenaran wali (jika berkaitan).

13. Mengapakah suatu perkahwinan itu perlu didaftarkan?
Suatu perkahwinan itu perlu didaftarkan untuk memastikan hak-hak pihak-pihak dalam perkahwinan itu terjamin.

14. Sekiranya suatu perkahwinan telah diadakan di luar Malaysia, apakah tindakan yang perlu dilakukan ?
Pihak-pihak perlulah memastikan bahawa perkahwinan itu didaftarkan di kariah tempat tinggal pihak perempuan.

Related Posts

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

I luv evrything about ..... © . Designed by MaisarahSidi.com