ZIARAH KUBUR IBU BAPA
Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakkad dan besar pahalanya. Makin bertambah pahalanya – seperti diterangkan dalam hadith-hadith nabi s.a.w. Makin bertambah pahalanya, jika kubur ibu bapa diziarahi pada tiap-tiap hari jumaat dan dibacakan surah Yaasin disisinya. Kelebihan mengenang ibu bapa dengan doa dan dengan menziarahi kuburnya membawa kebaikan bukan sahaja kepada anak-anaknya yang soleh tetapi juga kepada anak derhaka. Seperti dalam sebuah hadith diterangkan: Anak derhaka yang kematian kedua ibu bapanya kemudian dia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk mereka, nescaya ia diampuni Allah dan dikira sebagai anak yang taat.
Menurut huraian ulama’ rahimahumullah, orang yang berziarah kubur dituntut melakukan seperti berikut:
1. Hendaklah ia bersih dari hadas (sunat berwudhuk)
2. Ketika sampai ditanah perkuburan, disunat memberi salam secara umum kepada ahli kubur dan berdoa semoga mereka beroleh rahmat dan selamat sejahtera. Ini diterangkan dalam hadith berikut:
Dari Buraidah al-Aslami r.a, katanya;
” Rasulullah s.a.w pernah mengajar sahabat-sahabatnya apabila mereka menziarahi tanah perkuburan supaya tiap tiap seorang di antara mereka (memberi salam dan berdoa dengan berkata: Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli perkampungan (tanah kubur) ini, dari kalangan kaum mukminin dan muslimin; dan bahawa kami juga- Insya Allah akan menurut kamu apabila sampai gilirannya; semoga Allah memberi rahmat dan selamat sejahtera kepada kami dan kamu sekelian ”
(Hadith riwayat Ahmad , Muslim dan Ibnu Majah)
3. Setelah sampai berhampiran kubur kaum kerabat atau sahabat kenalan, hendaklah berdiri rapat ditepi kubur dengan mengadap muka simati (untuk mengetahui arahnya, semua orang mati dikebumikan dengan keadaan mengiring atas sebelah kanannya dan mukanya mengadap khiblat) sambil memberi salam secara khusus kepadanya : Contohnya kalau simati ayah kita, maka lafaz salamnya ialah : ”Assalamualaikum wahai ayahku” dan kalau ibu, ” Assalamualaikum wahai ibuku.”
Demikian seterusnya kepada kaum kerabat dan sahabat kenalan, beri salam dahulu disertakan dengan panggilan yang biasa kita berbahasa dengan mereka semasa mereka hidup.
4. Selepas memberi salam, sunat membaca aya-ayat suci al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada simati.
5. Selepas membaca ayat-ayat suci al-Quran hendaklah mengadap kiblat dan berdoa untuk simati semoga Allah mengampuni dosanya dan melimpahkan rahmat kepadanya, kerana doa yang didahului bacaan al-Quran lebih diharap makbulnya.
No comments:
Post a Comment