Burger bakar pertama di Kelantan - I luv evrything about ..... I luv evrything about .....: Burger bakar pertama di Kelantan

20 September 2012

Burger bakar pertama di Kelantan

Nik Nurehan | Thursday, September 20, 2012 | 0 Komen
 

DARI kiri, Mohamad Syarim Zaini, Shamsul Halime dan Hishamudin Yusof menunjukkan burger bakar yang terdapat di Planet Grill yang terletak di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.

* Dh try smalam. blh terima. sedap ;) skali mkn nak lg. shedap dr kb burger bakar yg bhadapan dengan pizza hut tu 

Dengan menggunakan resipi tersendiri dan menitik beratkan kesempurnaan dalam hidangan membuatkan burger bakar di Planet Grill yang terletak di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, menjadi tumpuan ramai. Planet Grill yang diusahakan oleh tiga orang sahabat iaitu Mohamad Syarim Zaini, 40; Shamsul Halime, 34, dan Hishamudin Yusof, 41, turut tampil dengan hidangan yang mempunyai cita rasa berlainan berbanding burger-burger lain yang sedia ada di pasaran. 

Lebih istimewa, burger bakar ini juga merupakan satu-satu menu seumpamanya yang terdapat di negeri ini dan ia kini mula menjadi fenomena masyarakat di sini. Mohamad Syarim berkata, Planet Grill mula dibuka pada Julai lalu hasil cetusan idea dia bersama rakan-rakan yang mahu mengetengahkan menu baharu itu di negeri ini. Sebelum memulakan operasi mereka terlebih dahulu membuat kajian mengenai menu tersebut. Katanya, mereka turut menguji rasa menu-menu yang disediakan terlebih dahulu agar ia dapat diterima 'tekak' masyarakat tempatan. 

Ujarnya, percubaan mereka itu akhirnya membuahkan hasil kerana burger bakar Planet Grill mendapat sambutan yang luar biasa dan rata-rata pelanggan turut menyatakan mereka sudah lama menanti kemunculan burger bakar di negeri ini. Katanya lagi, burger bakar ini sememangnya sudah popular di beberapa negeri seperti di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak serta Johor, dan di negeri ini ia merupakan menu baharu. "Kami telah menghasilkan burger bakar dengan 100 peratus mengunakan resipi sendiri di mana dagingnya diproses sendiri mengunakan tiga jenis mesin. "Kami juga menghasilkan mayonis dengan mengunakan resipi sendiri dan proses melaksanakannya juga dilakukan sangat teliti. Semua ramuan akan disukat untuk mendapatkan rasa yang sempurna. 

Selain itu, tambah Mohamad Syarim, antara keistimewaan burger bakar Planet Grill ialah saiz dagingnya lebih besar dan ia dibakar dalam masa 20 minit menggunakan dapur arang sehingga menjadi sangat lembut dan garing. Menurutnya, walaupun baru memulakan operasi, mereka mampu menjual sehingga 100 biji semalam dan jumlah tersebut dijangka meningkat selepas ini. Bagi Mohamad Syarim, angka tersebut menunjukkan bahawa burger bakar Planet Grill sememangnya mempunyai peminatnya tersendiri, walaupun ia baharu bertapak di negeri ini. "Burger bakar yang dijual ini sebenarnya juga boleh dikategorikan sebagai menu sihat kerana daging-dagingnya dibakar dan bukannya digoreng. "Secara tidak langsung ia bukan sahaja satu menu sihat untuk dinikmati semua masyarakat malah ia juga merupakan satu hidangan baru bagi menu burger," katanya. 

Planet Grill menawarkan lima menu untuk pilihan pelanggan iaitu Grilled Chiken Burger, Grilled Chess Burger, Grilled Blackpepper Burger, Grilled Beef Bacon Burger dan Special Burger. Ujarnya, kesemua menu yang disediakan turut disajikan dengan pelbagai sos dan perisa seperti lada hitam, thousand island, keju, mayonis, barbeku, cili dan juga tomato. "Dibuka setiap hari bermula pukul 5 petang hingga lewat malam, kesemua menu di burger bakar Planet Grill boleh didapati pada harga RM6.80 sehingga RM8.80," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Halime pula berkata, perniagaan burger bakar ini adalah sebagai platform sebelum mereka mengorak langkah mempelbagaikan lagi menu dari masa ke semasa khususnya makanan Barat. Katanya, perancangan mereka selepas ini adalah untuk memperluaskan perniagaan ke beberapa negeri lain dengan tetap mengunakan jenama Planet Grill. "Sasaran terdekat kami juga ingin meluaskan perniagaan di negeri ini dengan akan membuka beberapa cawangan seperti di Wakaf Che Yeh dan Kubang Kerian," katanya. 

Sementara itu seorang pelangan, Mohd. Zafrie Ikhmal, 23, ketika ditemui berkata, burger bakar yang terdapat di Planet Grill ini berbeza dari burger biasa yang terdapat di Kota Bharu. Katanya, dagingnya lebih besar daripada biasa, garing dan lebih lazat daripada burger biasa yang pernah dia nikmati sebelum ini. "Saya paling suka menu Grilled Blackpepper Burger kerana ianya mempunyai cita rasa yang tersendiri," katanya.

Zietie Shadean, 26, pula berkata, cara penyediaan yang mementingkan kebersihan dan kualiti menyakinkan dirinya untuk menikmati burger bakar Planet Grill tanpa rasa ragu-ragu. Katanya, di samping itu dia gemar menikmati dagingnya yang asli dan lembut berbanding dengan daging yang terdapat pada burger biasa.

Related Posts

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

I luv evrything about ..... © . Designed by MaisarahSidi.com